Friday, 13 January 2012

SIFAT-SIFAT NABI DAN RASUL


Sifat Rasul ada 3 bahagian iaitu :
1. Sifat Wajib
2. Sifat Mustahil
3. Sifat Harus

1. Sifat Wajib bagi Rasul.

Setiap Rasul wajib bersifat dengan 4 sifat iaitu :
1.1) Al-Sidq
1.2) Al-Amanah
1.3) Al-Tabligh
1.4) Al-Fatonah

- Keempat-empat sifat ini ada kaitan dengan sifat 'Maksum' ( معصوم )
- Sifat 'Maksum' bermaksud Rasul adalah insan yang terpelihara atau terkawal daripada dosa dan maksiat samaada sebelum menjadi Rasul atau selepas dipilih menjadi Rasul oleh Allah S.W.T.



AS-SIDQ

Gambar hiasan : Kaabah

AS-SIDQ    (ألصدق)

1.As-Sidq

Siddiq bererti benar. Diambil daripada kalimah as-Sidqu (الصدق) iaitu mengatakan yang benar dan terang. Keutamaan dan kemuliaan sifat benar itu diperjelaskan oleh Allah Taala dalam surah al-Ahqaqaf ayat 16, maksudnya:

"Mereka Itulah orang-orang yang kami terima dari mereka amal yang baik yang Telah mereka kerjakan dan kami ampuni kesalahan-kesalahan mereka, bersama penghuni-penghuni surga, sebagai janji yang benar yang Telah dijanjikan kepada mereka."

Sifat benar ini wajib ada pada nabi dan rasul. Ia menjadi sifat yang mutlak iaitu bersifat benar dalam semua perkara sama ada dalam percakapan, perbuatan dan hati. Apa yang disabdakan oleh para rasul dan para nabi adalah benar dan dibenarkan kata-katanya. Para nabi dan rasul mempunyai sifat siddiq iaitu membawa kebenaran.

Thursday, 12 January 2012

AL-AMANAH

Gambar hiasan : Madinah Al Munawwarah

AL-AMANAH   (الأمانة)

2. Al-Amanah

Perkataan amanah (الأمانة) mempunyai pengertian khusus dan umum. Dalam pengertian khusus, amanah bererti mengembalikan harta benda kepada yang mengamanahkannya. Manakala dalam pengertian khusus pula amanah memberi maksud menyembunyikan rahsia, ikhlas dalam memberi nasihat dan benar-benar menyampaikan sesuatu bila ditugaskan untuk menyampaikannya. Allah berfirman dalam surah an-Nisaa’ ayat (t.t) yang bermaksud:-

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat."

Bangsa Arab telah mengenal sifat amanah Rasulullah s.a.w. sebelum baginda diutus menjadi rasul. Mereka memberi dengan gelaran “Al-Amin” orang yang dipercayai. Oleh kerana itu mereka menerima semua keputusan baginda dalam perselisihan di antara mereka dan rela dengan ketetapan Rasulullah s.a.w. sebagaimana keputusan tentang perletakan Hajarul Aswad yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W


AL-TABLIGH

Gambar hiasan : Perkuburan Baqi di Madinah

AL-TABLIGH   ( التبليغ )

3. Al-Tabligh

Maksud tabligh ( التبليغ ) ialah menyampaikan. Para rasul menyampaikan wahyu yang diterima daripada Allah, di mana menyampaikan itu menjadi sifat yang istimewa kepada mereka. Mustahil mereka menyembunyikan wahyu Allah. Mereka tetap menyampaikannya walaupun menghadapi kezalimann dan kekejaman manusia.

Semua rasul mengisytiharkan dengan berterus-terang dan bersemuka bahawa mereka menyampaikan perintah Allah dan menasihati umatnya. Begitu juga kita dapati nabi Muhammad s.a.w. diperintahkan supaya menyampaikan perintah Allah kepada umat manusia. Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Maaidah ayat 67 maksudnya:

"Hai rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak menyampaikan amanatNya. Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir."

Para rasul sentiasa menyampaikan segala ajaran, peringatan, hukum-hukum, berita gembira dan berita buruk kepada seluruh umatnya. Ekoran daripada inilah Islam tersebar luas ke setiap pelusuk benua dengan cepat.


AL-FATONAH

Gambar hiasan : Masjid Al-Aqsa, Palestin

AL-FATONAH    ( الفطانة )

4. Al-Fatonah

Fatonah ( فطانة ) bermaksud cerdik dan bijaksana. Setiap rasul yang dipilih oleh Allah wajib bersifat dengan sifat fatonah. Para rasul memiliki kekuatan ingatan dan ketajaman akal yang luar biasa, sehingga tidak ada sesiapa yang mampu menandingi mereka, kerana mereka telah diamanahkan untuk menyampaikan agama Allah, menyatakan hukum-hukumnya, menghapuskan segala kekeliruan, menegakkan iman dalam hati manusia dengan hujjah-hujah yang kuat Serta membatalkan segala penentangan ke atas agama Allah.

Allah berfirman dalam surah al-An’aam ayat 124, maksudnya:

"Apabila datang sesuatu ayat kepada mereka, mereka berkata: "Kami tidak akan beriman sehingga diberikan kepada kami yang serupa dengan apa yang Telah diberikan kepada utusan-utusan Allah". Allah lebih mengetahui di mana dia menempatkan tugas kerasulan. orang-orang yang berdosa, nanti akan ditimpa kehinaan di sisi Allah dan siksa yang keras disebabkan mereka selalu membuat tipu daya."

Sifat fatonah adalah sifat yang saling berkait dengan sifat tabligh, kerana dalam menyampaikan ajaran Allah para pesuruh Allah mesti menghadapi perbahasan dan perbincangan yang sengit dengan musuh-musuh mereka. Dengan sifat fatonah itu wajar bagi mereka melaksanakan perintah Allah yang terkandung dalam surah an-Nisaa’ ayat 165 yang bermaksud:

"(mereka kami utus) selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan agar supaya tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu. dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Jika kita mengkaji sejarah hidup Rasulullah s.a.w., kita dapati baginda seorang yang bijak dan dapat memberi hujah yang kuat. Tidak ada seorang pun yang dapat menandinginya. Sehinggakan kata-kata baginda (hadis) menjadi hujah yang kuat hingga akhirat kelak.